YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Kewangan I bersama MTA menyantuni masyarakat Pontian di samping memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan Takaful
Pontian, 4 November 2023 – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) meneruskan siri karnival Takaful Masuk Kampung (TMK) pada tahun ini bersama penduduk Kampung Parit Puteri Menangis, Ayer Baloi, Pontian, Johor. Istimewanya, program kali ini telah dirasmikan sendiri oleh Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan yang juga merupakan Timbalan Menteri Kewangan I. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Encik Mohd Radzuan Mohamed, industri Takaful amat memberi penekanan terhadap pendidikan serta kepentingan pembangunan ekosistem kewangan yang bersifat inklusif. “Takaful Masuk Kampung (TMK) adalah program yang dirangka bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan Takaful sebagai salah satu instrumen kewangan yang sangat penting dalam pengurusan kewangan
mereka”, tambah beliau.
Selain itu, penganjuran Karnival TMK di Pontian turut mendapat sokongan daripada Pejabat ADUN Pulai Sebatang dan agensi kerajaan lain, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM). Turut sama hadir dalam memberikan perkongsian mengenai Takaful adalah wakil- wakil dari pengendali takaful antaranya dari Etiqa Family Takaful Berhad, FWD Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad, Hong Leong MSIG Takaful Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad, Takaful Ikhlas Family Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad.
Di samping itu, karnival TMK juga adalah salah satu inisiatif yang sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Pelan Rangka Kerja Rangkuman Kewangan Kedua (2023-2026) sebagai panduan berasaskan prinsip untuk memajukan
rangkuman kewangan di Malaysia. MTA juga menekankan pendidikan literasi kewangan selaras dengan Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) dan juga Pelan Sektor Kewangan (FSB) Bank Negara Malaysia yang juga termasuk dalam teras 2a (i) iaitu memperkasakan Pelan Rangkuman Kewangan (FIF) dalam masyarakat. Karnival TMK yang berkonsepkan karnival rakyat dan Pendidikan kewangan telah berjaya menarik kira-kira 2,000 orang pengunjung yang hadir. MTA juga merancang pelbagai aktiviti menarik dalam memperkasakan serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perancangan kewangan serta kepentingan perlindungan Takaful dalam kehidupan masyarakat.
Acara penutup Karnival TMK dan sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh YB Hajah Hasrunizah Haji Hassan, ADUN Pulai Sebatang. Di dalam ucapan beliau, YB Hajah Hasrunizah telah memberi sumbangan berupa pakej Pelan Perlindungan
Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus daripada Syarikat Takaful Malaysia Am Berhad dan Agrobank kepada 277 orang penduduk Pulai Sebatang yang terpilih. Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus ini juga turut disumbangkan oleh Datin Seri Noraini Sulaiman, isteri YB Datuk Seri Ahmad Maslan kepada 50 orang pelajar Madrasah Tahfiz Pendita Madani. Ini juga bukan kali pertama, sebelum ini YB Hajah Hasrunizah pernah menaja pelan perlindungan Takaful kepada golongan asnaf, miskin, pemimpin Masyarakat, ketua kampung dan penghulu serta petugas Jalinan Rakyat bagi kawasan DUN Pulai sebatang. Bagi YB Hajah Hasnizah, ini adalah salah satu inisiatif dari Pejabat ADUN Pulai Sebatang bagi memberi kesedaran pada masyarakat mengenai kepentingan perlindungan Takaful dalam kehidupan seharian. Untuk maklumat lanjut mengenai program Takaful Masuk Kampung, sila layari media sosial rasmi dan laman web Persatuan Takaful Malaysia di www.takaful4all.org.