Jawatankuasa Protokol & Penyelesaian Rakan Penjagaan Kesihatan (HPPSC)
Memperkukuh Kerjasama bagi Meningkatkan Pengurusan Tuntutan Perubatan
Dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Mekanisme Aduan, HPPSC memberi tumpuan kepada penyelesaian isu sistemik dan penambahbaikan komunikasi antara penanggung insurans, pengendali takaful dan rakan penjagaan kesihatan
Kuala Lumpur, 23 Januari 2026 – Jawatankuasa Protokol dan Penyelesaian Rakan Penjagaan Kesihatan (HPPSC), yang dahulunya dikenali sebagai Jawatankuasa Mekanisme Aduan (GMC), terus memperkukuh kerjasama industri bagi meningkatkan pengurusan tuntutan perubatan, menangani isu sistemik serta menambah baik komunikasi antara penanggung insurans, pengendali takaful dan rakan penjagaan kesihatan. Ditubuhkan sebagai sebuah platform bersama pelbagai pihak berkepentingan, Jawatankuasa ini menangani isu-isu lazim berkaitan tuntutan perubatan dan proses surat jaminan. Ia menyediakan platform berstruktur untuk penglibatan secara konstruktif, yang membolehkan pihak berkepentingan mengenal pasti punca masalah, membangunkan penyelesaian yang praktikal serta menggalakkan ketelusan yang lebih tinggi merentasi ekosistem pembiayaan insurans/takaful penjagaan kesihatan swasta.
Penjenamaan semula Jawatankuasa ini kepada HPPSC mencerminkan peranan yang diperluas dan lebih proaktif dalam mengenal pasti isu, membangunkan penyelesaian serta memacu pelaksanaan melalui protokol kerjasama dan amalan terbaik.
Perkembangan ini menandakan komitmen baharu oleh industri penjagaan kesihatan dan insurans/takaful serta persatuan-persatuannya – Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) – untuk memperkukuh ketelusan dan keadilan dalam pengurusan tuntutan perubatan.
Mandat HPPSC merangkumi usaha bersama membangunkan protokol tuntutan, menyelesaikan isu sistemik, menambah baik komunikasi, memupuk kerjasama serta mengesyorkan amalan terbaik yang praktikal bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pesakit.
Jawatankuasa ini meneliti isu-isu yang diterima melalui badan profesional perubatan dan persatuan industri dengan objektif merapatkan jurang pengetahuan serta menyediakan panduan umum yang selaras dengan prinsip layanan adil terhadap pemegang polisi dan pengurusan pesakit yang beretika.
Jawatankuasa ini terdiri daripada wakil penyedia dan pembayar, termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), pengendali insurans dan takaful (ITO), serta pentadbir pihak ketiga (TPA), dengan pemerhati daripada KKM dan BNM. Ia dipengerusikan bersama oleh wakil daripada MMA dan LIAM serta disokong oleh PIAM dan MTA, mencerminkan komitmen bersama terhadap penyelesaian masalah secara kolaboratif.
Sejajar dengan tumpuannya terhadap hasil berteraskan pesakit, Jawatankuasa ini baru-baru ini telah memperluas keahliannya dengan melantik seorang wakil advokasi pesakit, Manvir Victor, bagi memastikan perspektif pesakit diwakili dalam perbincangan dan penyelesaian.
“Saya amat berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada HPPSC, mewakili suara pesakit dan masyarakat umum. Peranan ini membawa tanggungjawab untuk memastikan perbincangan mengenai ekosistem penjagaan kesihatan swasta diterjemahkan kepada penambahbaikan yang bermakna dalam proses, akses dan kesaksamaan, agar penjagaan berkualiti kekal adil dan mampan,” kata Manvir Victor.
Sejak pengaktifan semulanya pada November 2025, Jawatankuasa ini telah mengadakan beberapa mesyuarat dan kini memberi tumpuan kepada inisiatif yang bertujuan meningkatkan pengalaman pesakit serta pemegang polisi/pemegang sijil, memperkukuh komunikasi antara penyedia penjagaan kesihatan dan pembayar, serta menyeragamkan proses dan prosedur berkaitan tuntutan perubatan dan surat jaminan. Inisiatif ini turut merangkumi penubuhan talian hotline khusus profesional perubatan oleh ITO dan TPA, selain penambahbaikan ketelusan serta pemudahcara proses pembatalan status panel doktor dan hospital.
Pengerusi Bersama HPPSC, Dr Vasu Pillai Letchumanan dari MMA berkata, “Persatuan Perubatan Malaysia mengalu-alukan kerjasama yang diperkukuh di bawah HPPSC. Dengan menambah baik protokol dan memperkemas pengurusan tuntutan perubatan, inisiatif ini bukan sahaja akan mengurangkan beban pentadbiran ke atas profesional penjagaan kesihatan, malah memastikan pesakit menerima rawatan yang tepat pada masanya dan cekap. Kami menantikan kesinambungan kerjasama ini untuk mengekalkan standard penyampaian penjagaan kesihatan yang tinggi.”
Sementara itu, Presiden APHM, Datuk Dr Kuljit Singh menambah, “Dari perspektif pesakit, inisiatif seperti pendekatan kolaboratif HPPSC adalah amat penting. Pengurusan tuntutan yang diperkemas bermaksud tekanan yang lebih rendah dan akses rawatan yang lebih pantas, sekali gus membolehkan pesakit menumpukan perhatian kepada pemulihan dan bukannya urusan dokumentasi. Kami memuji komitmen semua pihak berkepentingan dalam meletakkan keperluan pesakit sebagai keutamaan dalam proses ini.”
Mengulas mengenai kemajuan setakat ini, Mark O’Dell, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM dan Pengerusi Bersama HPPSC yang mewakili ITO berkata, “HPPSC telah pun menghasilkan penambahbaikan dalam komunikasi dan kerjasama antara pihak berkepentingan penjagaan kesihatan swasta. Penglibatan awal ini merupakan langkah penting ke arah menangani cabaran bersama secara konstruktif dan mampan.”
Industri insurans dan takaful kekal teguh dalam komitmennya terhadap HPPSC sebagai platform utama untuk memajukan penyelesaian kolaboratif serta menggalakkan ketelusan merentasi ekosistem penjagaan kesihatan swasta Malaysia. Melalui kerjasama rapat dengan penyedia penjagaan kesihatan, pesakit dan pemegang polisi, industri secara aktif menangani cabaran sistemik, membina kepercayaan dan menyokong akses yang adil serta tepat pada masanya kepada penjagaan berkualiti untuk semua pemegang polisi/sijil.