Kuching, 10 November 2024 – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) hari ini melancarkan program Takaful Masuk Kampung (TMK) bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Semariang Batu, Kuching, Sarawak. Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat tempatan serta memberi pemahaman mengenai kepentingan perlindungan Takaful.
Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen P194 Petra Jaya. Program ini adalah sebahagian daripada usaha MTA untuk menggalakkan pemahaman lebih mendalam terhadap perlindungan kewangan yang selaras dengan prinsip muamalat Islam.
Program TMK disokong oleh pengendali-pengendali Takaful seperti Etiqa General Takaful Berhad, Etiqa Family Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad, Takaful IKHLAS Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad serta MySalam, juga dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Umobile, dan lain-lain.
Program ini merupakan penganjuran kali ke-6, dan ianya turut disertai oleh 20 buah kampung dari seluruh kawasan sekitar. Ia juga telah berjaya menarik lebih daripada 2,000 peserta yang hadir sepanjang hari. Kehadiran yang memberangsangkan ini menggambarkan minat yang tinggi dalam kalangan masyarakat setempat terhadap program ini dan usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan Takaful.
Para peserta berpeluang mengikuti aktiviti menarik seperti sesi senaman aerobik, pertandingan dart, pertandingan fesyen kanak-kanak, dan sukan rakyat seperti tarik tali dan bowling kelapa. Tambahan pula, terdapat slot Bicara Ilmiah yang disampaikan oleh pakar-pakar bagi mengupas peranan Takaful dan pengurusan kewangan. Sesi ini diadakan khusus untuk memperkukuh pengetahuan masyarakat mengenai perancangan kewangan, dan kepentingan perlindungan kewangan yang beretika.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Encik Mohd Radzuan Mohamed, “Program TMK ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan, panduan, pendidikan kepentingan pengurusan kewangan dan ianya juga bertujuan untuk memberi penekanan tentang kepentingan perlindungan Takaful”.
Program TMK pada hari ini merupakan permulaan kepada siri Jelajah Negeri Sarawak yang akan berlangsung di beberapa lokasi di seluruh negeri. MTA dan wakil-wakil industri Takaful juga hadir di Sarawak dengan tujuan menubuhkan ‘Sarawak Chapter’ bagi melancarkan pelan transformasi strategik Hijrah27. Inisiatif Hijrah27 ini bertujuan untuk memastikan perkembangan industri Takaful yang lebih mampan, inklusif, dan komprehensif, selari dengan aspirasi masa depan industri Takaful di negara.

