Platform digital mesra akses baharu memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU) untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan bermaklumat mengenai perlindungan insurans dan takaful
SHAH ALAM, 24 Oktober 2026 – Industri insurans dan takaful Malaysia terus mengorak langkah penting dalam memperkukuh keterangkuman kewangan menerusi pelancaran rasmi MyCoverageOKU, sebuah platform digital khusus yang dibangunkan bagi memudahkan akses Orang Kurang Upaya (OKU) kepada maklumat berkaitan perlindungan insurans dan takaful.
Inisiatif yang didukung secara bersama oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) ini telah dilancarkan secara rasmi oleh YBhg. Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), semasa majlis pelancaran rasmi Karnival Celik Kewangan Selangor di Central iCity Shah Alam pada hari ini. Pelancaran ini mencerminkan komitmen kolektif industri dalam membangunkan ekosistem perlindungan yang lebih inklusif, mudah diakses dan mesra pengguna.
Dibangunkan berpandukan Web Content Accessibility Guidelines (WCAG) atau Garis Panduan Kebolehcapaian Kandungan Web, MyCoverageOKU dilengkapi pelbagai ciri kebolehcapaian seperti pelarasan saiz teks, paparan kontras tinggi dan navigasi yang dipermudah bagi menyediakan pengalaman digital yang lebih mesra pengguna, khususnya kepada individu dengan keperluan kebolehcapaian yang berbeza.
Menerusi Senarai Produk Insurans dan Takaful yang disediakan, pengguna boleh meneroka pelbagai pilihan perlindungan, memahami manfaat produk serta menyemak syarat kelayakan. Kemudahan ini membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih bijak dan bermaklumat berdasarkan keperluan serta keadaan masing-masing.
Pelancaran MyCoverageOKU mencerminkan kesedaran industri bahawa akses kepada maklumat perlindungan yang jelas, tepat dan mudah difahami tidak seharusnya dibatasi oleh ketidakupayaan fizikal mahupun halangan kebolehcapaian.
Selain meningkatkan kebolehcapaian digital, MyCoverageOKU turut melambangkan komitmen berterusan industri insurans dan takaful dalam memperkukuh literasi kewangan, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perlindungan serta menyokong agenda keterangkuman kewangan negara.
Orang ramai digalakkan untuk meneroka platform MyCoverageOKU melalui pautan https://mycoverage.my/MyCoverageOKU
Dari Kiri:
- Mark O’Dell, CEO, Life Insurance Association Malaysia (LIAM)
- Yang Behormat Dato’ Dr. Ahmad Fadzli Bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri selangor
- Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour, Gabenor, Bank Negara Malaysia (BNM)
- Mohd Radzuan Mohamed, CEO, Malaysian Takaful Association (MTA)
- Chua Kim Soon, CEO, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM)
Suhaimi Ali, Penolong Gabenor, BNM
Kunjungan Gabenor BNM ke reruai Takaful4All selepas majlis pelancaran KCK Selangor. Ketua Pegawai Eksekutif MTA, menyaksikan Gabenor menurunkan tandatangan diatas lukisan Laporan Financial Sector Blueprint and Sustainability for Takaful.
Gabenor BNM dan CEO MTA menyantuni seorang pengunjung OKU yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai MyCoverage OKU.
