![](https://takaful4all.org/wp-content/uploads/2024/04/tmk24-5-1024x682.jpeg)
Siri karnival TMK tawan masyarakat Alor Setar melalui pengisian program literasi kewangan di samping memupuk kesedaran mengenai kepentingan perlindungan Takaful kepada orang ramai
Alor Setar, 17 Februari 2024 – Berbekalkan sambutan menggalakkan yang diraih daripada kejayaan Karnival Takaful Masuk Kampung (TMK) pada tahun lepas, justeru Persatuan Takaful Malaysia (MTA) meneruskan lagi siri jelajah Karnival TMK pada tahun ini yang berlangsung di negeri Kedah.
Istimewanya siri karnival TMK pada kali ini diadakan bersempena Karnival Sejahtera Alor Mengkudu yang mana ianya adalah program anjuran bersama MTA dengan pihak Pusat Khidmat Wakil Rakyat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu.
Perasmian pembukaan program TMK ini telah dirasmikan sendiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Yang Berhormat Tuan Haji Muhammad Radhi Bin Haji Mat Din, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan & Kos Sara Hidup, Belia & Sukan Kerajaan Negeri Kedah.
Turut sama hadir pada program berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Encik Mohd Radzuan Mohamed. Menurut beliau, industri Takaful amat memberi penekanan terhadap pendidikan serta kepentingan pembangunan ekosistem kewangan yang bersifat inklusif.
“Takaful Masuk Kampung (TMK) adalah program yang dirangka bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan perlindungan Takaful sebagai salah satu instrumen kewangan yang sangat penting dalam pengurusan kewangan mereka”, tambah beliau.
Selain itu, penganjuran Karnival TMK di Alor Setar turut mendapat sokongan daripada beberapa agensi kerajaan lain, antaranya pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tabung Haji dan National Kidney Foundation (NKF). Turut sama hadir dalam memberikan perkongsian mengenai Takaful adalah wakil- wakil dari pengendali takaful antaranya dari Etiqa General Takaful Berhad (EFTB), FWD Takaful Berhad, Great Eastern Takaful Berhad (GETB), Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT), Prudential BSN Takaful Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Takaful IKHLAS Berhad dan Zurich Takaful Malaysia Berhad.
Di samping itu, Karnival TMK juga adalah salah satu inisiatif yang sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Pelan Sektor Kewangan (2022-2026) sebagai panduan berasaskan prinsip untuk memajukan rangkuman kewangan di Malaysia. Karnival TMK yang berkonsepkan karnival rakyat dan pendidikan berjaya menarik kira-kira seramai 1,500 lebih pengunjung yang hadir. MTA juga merancang pelbagai aktiviti menarik dalam memperkasakan serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perancangan kewangan serta kepentingan perlindungan Takaful dalam kehidupan masyarakat.
Selain perkongsian serta bicara ilmu kewangan yang disampaikan oleh wakil-wakil pengendali Takaful dan agensi-agensi yang hadir, para pengunjung juga berpeluang untuk mendapatkan promosi produk perlindungan Takaful pada karnival TMK kali ini. Antaranya ialah produk Perlindungan Tenang yang menawarkan caruman serendah RM2.10 sebulan. Manakala, produk MySalam pula memberikan anda perlindungan Takaful secara percuma mengikut syarat kelayakan yang telah ditetapkan dan lain-lain produk Takaful yang mampu milik serta bersesuaian dengan keperluan masyarakat.
Acara perasmian penutup Karnival TMK dan sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Salleh Bin Saidin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Keusahawanan, Kerajaan Negeri Kedah mewakili Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor, Menteri Besar Kedah. Di dalam ucapan beliau, YB Dato’ Haji Salleh turut mengingatkan kepada masyarakat tentang kepentingan memiliki perlindungan Takaful yang menjadi perkara penting, terutamanya dalam konsep pengurusan kewangan individu dan masyarakat.
Melangkah ke hadapan, MTA akan meneruskan siri jelajah TMK dan program-program literasi kewangan yang lain seperti Takaful in Campus (TiC) serta program kolaborasi bersama agensi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan juga Financial Industry Collective Outreach (FINCO) ke seluruh negara pada masa akan datang.
Untuk maklumat lanjut mengenai program Takaful Masuk Kampung, sila layari media sosial rasmi dan laman web Persatuan Takaful Malaysia, www.takaful4all.org.