Penganjuran program Shape Your Future #FitFinances2.0 adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan literasi kewangan dan kesedaran terhadap Takaful bagi semua lapisan Masyarakat
Kota Kinabalu, 18 November 2023 – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) serta Kolej Vokasional Malaysia telah menganjurkan program Shape Your Future #FitFinances2.0 bagi tahun 2023. Ini merupakan tahun kedua pengajuran yang merupakan sebahagian daripada kempen Takaful4All yang dianjurkan bagi menggalakkan usaha literasi kewangan serta meningkatkan kesedaran semua peringkat Masyarakat mengenai kepentingan Takaful.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk berkongsi mengenai ilmu pendidikan kewangan kepada para pelajar Kolej Vokasional yang merupakan salah satu daripada bidang pendidikan di Malaysia iaitu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Aturcara program 2 hari 1 malam ini juga, telah disediakan untuk mengutamakan kaedah Pendidikan Kewangan melalui bengkel intensif yang terdiri daripada ceramah kewangan, slot aktiviti, explorace dan ganjaran bagi kumpulan pelajar yang berjaya dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan.
Untuk makluman, pada tahun ini, sebanyak dua siri program Shape Your Future #FitFinances2.0 telah diadakan pada bulan Oktober bersempena Bulan Literasi Kewangan. Bagi siri pertama, ianya telah diadakan di Kem Wawasan Negara Kaki Bukit, Perlis yang melibatkan seramai 150 orang pelajar TVET bagi Zon Utara.
Manakala, siri kedua pula telah diadakan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai, Kulai, Johor juga melibatkan seramai 150 pelajar TVET bagi Zon Selatan. Manakala siri ketiga program Shape Your Future #FitFinances2.0 telah diadakan barubaru ini di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Sabah yang mana ianya menyasarkan penglibatan seramai 100 orang pelajar TVET bagi Zon Timur Malaysia. Istimewanya, siri ketiga ini turut dihadiri oleh Yang Berhormat Datuk Julita Mojungki, Pembantu Menteri Kewangan, Kementerian Kewangan Sabah untuk menyampaikan
ucapan serta menyempurnakan majlis penutup.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Encik Mohd Radzuan Mohamed berkata, “Bidang pendidikan TVET ini dilihat sebagai salah satu pasaran yang kurang mendapat perhatian dalam mempromosikan literasi kewangan. Walhal mereka inilah golongan yang akan terus bekerja setelah tamat pengajian di Kolej Vokasional. Oleh itu, pendidikan dan literasi kewangan sangat penting bagi mereka, supaya dapat merancang kewangan dengan lebih cekap dan baik selepas tamat pengajian”.
Di samping itu, program Shape Your Future #FitFinances2.0 ini adalah salah satu inisiatif yang sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Pelan Sektor Kewangan (FSB) 2022-2026 sebagai panduan berasaskan prinsip untuk memajukan rangkuman kewangan di Malaysia. MTA juga menekankan pendidikan literasi kewangan selaras dengan Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) yang juga termasuk dalam memperkasakan Rangka Kerja Rangkuman Kewangan (FIF) 2023-2026 terhadap masyarakat.
Rangkuman kewangan yang merujuk kepada nilai inklusiviti, merupakan prinsip utama dalam agenda pembangunan sosio ekonomi negara bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati hasil pertumbuhan dan pembangunan ekonomi tanpa mengira jantina, etnik kaum, status sosio ekonomi dan lokasi penempatan penduduk. Untuk maklumat lanjut mengenai program dan kempen Takaful4All, sila layari media sosial rasmi dan laman web Persatuan Takaful Malaysia di www.takaful4all.org.