Kuala Lumpur, 23 Januari 2026 — Seperti yang diumumkan oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) semalam, industri insurans dan takaful ingin memaklumkan bahawa Panduan Rujukan Julat Harga bagi Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta yang Lazim di Malaysia telah diterbitkan. Panduan rujukan ini merupakan satu inisiatif bersama oleh Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sebagai sebahagian daripada strategi RESET di bawah JBMKKS, dan boleh diakses oleh orang awam melalui laman sesawang persatuan masing-masing mulai 22 Januari 2026.
Panduan rujukan ini menyediakan gambaran keseluruhan mengenai julat harga indikatif yang lazim dikenakan oleh penyedia penjagaan kesihatan swasta bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan yang biasa, berdasarkan data tuntutan insurans dan takaful bagi tahun 2024. Ia bertujuan sebagai sumber maklumat untuk membantu pengguna memahami kos penjagaan kesihatan dengan lebih baik, memudahkan perbincangan yang lebih bermaklumat dengan penyedia perkhidmatan kesihatan serta merancang kos perbelanjaan yang mungkin akan ditanggung sendiri. Usaha meningkatkan kefahaman orang awam terhadap caj penjagaan kesihatan merupakan salah satu langkah ke arah menggalakkan pembiayaan penjagaan kesihatan yang lebih mampan, menyokong ketelusan harga yang lebih menyeluruh serta memperkasakan pengguna untuk membuat keputusan yang lebih bermaklumat.
Industri ingin menegaskan bahawa julat harga yang diterbitkan bukan merupakan harga tetap atau harga yang disyorkan, dan caj sebenar mungkin berbeza bergantung kepada faktor seperti keadaan perubatan pesakit, tahap kerumitan rawatan serta amalan penyedia perkhidmatan.
“Penerbitan ini mencerminkan komitmen industri yang lebih luas terhadap ketelusan dan pendidikan pengguna,” kata Mark O’Dell, Ketua Pegawai Eksekutif LIAM.
“Dengan menyediakan anggaran julat harga ini, kami berhasrat untuk memperkasakan pemegang polisi dan sijil mendapatkan gambaran kos yang lebih jelas untuk membuat keputusan penjagaan kesihatan dan perancangan kewangan yang lebih baik, disamping memahami bahawa caj sebenar boleh berbeza mengikut keadaan kesihatan individu,” tambah beliau.
Mohd Radzuan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif MTA, berkata bahawa penerbitan julat harga rujukan ini mencerminkan komitmen industri untuk menggalakkan ekosistem pembiayaan penjagaan kesihatan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
“Ketelusan kos bukan bertujuan untuk mengawal harga, tetapi untuk membina kefahaman bersama dalam kalangan pesakit, penyedia perkhidmatan dan pembayar, agar penjagaan kesihatan boleh terus diakses dan perlindungan takaful dapat dikekalkan secara mampan dalam jangka panjang,” katanya.
“Julat anggaran harga perubatan ini dapat mengurangkan kebimbangan kewangan pengguna kerana ia memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai potensi kos rawatan lebih awal. Ini memperkasakan pengguna untuk membuat keputusan yang lebih baik serta terlibat secara lebih aktif dalam perbincangan mengenai penjagaan mereka. Ia merupakan salah satu daripada beberapa inisiatif oleh industri insurans untuk meningkatkan kesedaran kos perubatan dan menyokong sistem penjagaan kesihatan yang mampan untuk rakyat Malaysia,” kata Chua Kim Soon, Ketua Pegawai Eksekutif PIAM.
Orang awam digalakkan untuk mengakses penerbitan tersebut melalui laman sesawang persatuan berikutt