MTA menyantuni para pelajar tahfiz dan anak yatim dengan anjuran majlis berbuka puasa dan sumbangan duit raya di samping memperkasakan pendidikan literasi kewangan terhadap seluruh lapisan masyarakat.
Sungai Besi, 28 Mac 2024 – Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak pada tahun ini, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) meneruskan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk sama-sama berkongsi rezeki dan meraikan para pelajar tahfiz dan anak yatim. Istimewanya CSR Ramadan pada tahun ini, MTA telah memilih untuk menyantuni para pelajar dari Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) bertempat di Sungai Besi, Selangor.
Penganjuran majlis berbuka puasa dengan kerjasama daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT) ini adalah sebahagian daripada usaha MTA dalam melunaskan tanggungjawabnya sebagai sebuah persatuan kewangan untuk berkongsi rezeki bersama golongan asnaf dan yang memerlukan. Pada majlis berkenaan, Encik Mohd Radzuan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif MTA telah menyampaikan Sumbangan Kasih Ramadan berjumlah RM10,000 kepada pihak STAY ATM yang turut disaksikan oleh Yang Berhormat Tuan Adly Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan. Pada masa yang sama, MTA turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada seramai 87 orang para pelajar tahfiz dan anak yatim yang hadir.
Di samping itu, program CSR Ramadan yang berkonsepkan Mahabbah Ramadan pada tahun ini turut mendapat sokongan penuh daripada Etiqa Family Takaful Berhad (EFTB) dalam menyalurkan dana wakalah zakat untuk diagihkan kepada golongan asnaf. Penganjuran program sebegini bukan sahaja dapat menggembirakan para pelajar tahfiz dan anak yatim yang merupakan salah satu daripada golongan asnaf dan penerima zakat, malah ianya turut memberi peluang kepada para pengendali Takaful di Malaysia untuk terus menabur bakti serta menyalurkan bantuan kepada masyarakat dan golongan yang memerlukan.
Menurut Encik Mohd Radzuan, MTA menyantuni para pelajar tahfiz dan anak yatim bersempena bulan Ramadan ini, di samping menekankan pendidikan literasi kewangan selaras dengan Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) yang juga termasuk dalam memperkasakan Rangka Kerja Rangkuman Kewangan (FIF) 2023-2026 terhadap seluruh lapisan masyarakat.
“Industri Takaful amat memberi penekanan terhadap pendidikan serta kepentingan pembangunan ekosistem kewangan yang bersifat inklusif. Melalui program sebegini, secara tidak langsung kita dapat memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan perlindungan Takaful sebagai salah satu instrumen kewangan yang sangat penting dalam pengurusan kewangan mereka”, tambah beliau.
MTA juga merancang pelbagai aktiviti menarik dalam memperkasakan serta meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perancangan kewangan serta kepentingan perlindungan Takaful dalam kehidupan masyarakat.
Berteraskan pelan transformasi Hijrah27 yang diperkenalkan baru-baru ini, MTA akan meneruskan pelbagai aktiviti dan program literasi kewangan yang lain seperti Takaful Masuk Kampung (TMK), Takaful in Campus (TiC) serta program kolaborasi bersama agensi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan juga Financial Industry Collective Outreach (FINCO) ke seluruh negara pada masa akan datang.
Untuk maklumat lanjut mengenai program-program literasi kewangan, sila layari media sosial rasmi dan laman web Persatuan Takaful Malaysia, www.takaful4all.org.