![](https://takaful4all.org/wp-content/uploads/2024/05/iktiraf-perunding-industri-2-1024x682.jpeg)
Penganjuran Takaful Star Awards 2024 (TSA 2024) adalah untuk memberi pengiktirafan kepada usaha dan meraikan pencapaian para perunding industri Takaful di peringkat nasional bagi tahun 2023
Genting Highland, 11 Mei 2024 – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) meraikan para perunding industri Takaful dalam acara gilang gemilang Takaful Star Awards 2024 (TSA 2024) bertempat di Genting International Convention Centre (GICC), Genting Highlands. Dengan kehadiran seramai 700 orang tetamu yang terdiri daripada ejen-ejen pengendali Takaful pada malam anugerah TSA 2024, ianya juga turut dihadiri oleh pemimpin dan barisan pengurusan kanan syarikat-syarikat pengendali Takaful dan Retakaful serta pakar-pakar industri kewangan Islam di Malaysia.
Penganjuran TSA 2024 kali ke-15 ini adalah untuk meraikan pencapaian tahunan warga industri Takaful di peringkat nasional bagi tahun 2023, dan memberi pengiktirafan kepada usaha pengendali-pengendali Syarikat Takaful dalam memperkembangkan dan memajukan industri Takaful di Malaysia. Usaha ini adalah selaras dengan matlamat Bank Negara Malaysia (BNM) agar industri Takaful dan insurans dapat menyumbang kepada peningkatan sebanyak 5.0% dalam KDNK Malaysia mengikut Pelan Sektor Kewangan (2022-2026). Dengan bertemakan ‘Conquer The Next Level’, penganjuran TSA 2024 diharapkan dapat memberi inspirasi kepada seluruh pemain industri dan perunding-perunding Takaful untuk terus melonjak ke tahap yang lebih tinggi.
Dalam ucapan Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia, Encik Elmie Aman Najas berkata, “Penganjuran malam anugerah berprestij TSA 2024 ini diharapkan dapat terus menyuntik semangat daya juang kepada perunding-perunding Takaful di seluruh Malaysia. Kita juga sama-sama meraikan peranan penting yang dimainkan oleh industri Takaful dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat, serta kemajuan kewangan Islam di Malaysia”.
Selain itu, penganjuran TSA 2024 ini juga turut mendapat sokongan penuh daripada semua pengendali Takaful dan Retakaful di Malaysia. Antara penaja utama bagi penganjuran TSA pada tahun ini adalah AIA PUBLIC Takaful Bhd, Etiqa Takaful Berhad, Prudential BSN Takaful Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad.
“Selama 40 tahun, industri Takaful telah menyumbang kepada impak yang positif untuk rakyat Malaysia. Para pemimpin, perancang kewangan dan perunding takaful telah membantu memperkasakan rakyat Malaysia, memenuhi impian dan membina masa depan.” kata Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail.
“Selain daripada mengiktiraf pencapaian hebat perunding-perunding Takaful, penganjuran TSA 2024 juga membuktikan syarikat-syarikat Takaful dan Retakaful di Malaysia utuh bekerjasama dan komited untuk terus memperkasakan pembangunan kewangan Islam secara progresif dan inklusif melalui perlindungan Takaful.” kata YBhg. Dato’ Rudy Rodzila, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS General Berhad, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran TSA 2024.
Manakala, menurut Encik Shahrul Azlan Shahriman, Ketua Pegawai Eksekuitf Great Eastern Takaful Berhad merangkap Pengerusi Jawatankuasa Anugerah TSA 2024, “Kualiti pencalonan anugerah TSA tahun ini berada di tahap penilaian terbaik berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan mengambil kira persistensi calon-calon yang bertanding bagi tahun pertama dan kedua”.
Di samping itu, istimewanya penganjuran TSA 2024 kali ke-15 ini, turut diadakan majlis simbolik pelancaran platform pembelajaran secara elektronik yang dikenali sebagai e-LMS. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Encik Mohd Radzuan Mohamed, “Pihak MTA telah memulakan inisiatif pendigitalan dengan membangunkan platform e-LMS ini, bagi mempelbagaikan lagi inisiatif dan usaha dalam memajukan industri Takaful”.
Sebanyak 30 kategori anugerah yang telah dipertandingkan dan seramai 68 orang penerima anugerah telah mendapat pengiktirafan tertinggi peringkat industri.