Kuala Lumpur, 15 Disember 2024 – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) buat julung kalinya telah menganjurkan acara berprestij Takaful4All Sustainability Day yang bertemakan “Protect, Care, Sustain” bertempat di Taman Tugu, Kuala Lumpur. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Hijrah27 Strategic Thrust 8 (ST8), yang memberikan fokus kepada prinsip ESG (Environmental, Social, Governance) serta menonjolkan komitmen industri terhadap usaha kelestarian.
Acara ini telah menarik lebih daripada 600 peserta, termasuk kakitangan Pengendali Takaful, dan juga orang awam. Pemilihan Taman Tugu sebagai lokasi penganjuran mencerminkan simbolik pelestarian alam sekitar di kawasan bandar raya. Ia bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat tentang pentingnya menjaga dan memelihara alam semula jadi.
Salah satu sorotan utama dalam program ini adalah pelancaran ‘Takaful4All Disaster Relief Team’, yang dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Rudy Rodzila Che Lamin, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Interim MNRB Holdings Berhad dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad. Inisiatif ini mencerminkan semangat solidariti dalam industri Takaful untuk menyokong rakyat ketika berlakunya krisis. Pasukan ini akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menyediakan latihan serta bantuan logistik kepada pihak yang memerlukan. Pelancaran ini menandakan komitmen industri untuk mempercepatkan respons terhadap krisis dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat yang lebih meluas.
Acara turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat. Antaranya adalah Larian Hero Hijau yang sejauh 5 kilometer bagi mempromosikan gaya hidup sihat. Selain itu, sebuah bengkel ‘Zero Waste Lifestyle’ telah diadakan oleh Zero Waste Malaysia, yang memberikan panduan praktikal tentang cara mengurangkan sisa dalam kehidupan harian. Pelbagai elemen budaya tempatan juga diketengahkan melalui permainan rakyat seperti Timbang Bulu Ayam dan Musang Berjanggut, yang telah mewujudkan suasana nostalgia dalam kalangan peserta.
Karnival ini turut menawarkan pelbagai pameran interaktif seperti pameran BOMBA, Penaja, Burung dan Fotografi, pertandingan mewarna, sesi literasi kewangan oleh Arus Academy, dan aktiviti meneroka Taman Tugu. Seramai 15 pengendali takaful telah mengambil bahagian dengan mempamerkan produk-produk berorientasikan ‘sustainability’ di persekitaran booth mereka.
Dalam ucapan alu-aluan oleh Encik Marcel Omar Papp, Ketua Retakaful Swiss Re Asia Ltd., beliau menekankan bahawa acara ini merupakan komitmen industri terhadap alam sekitar. “Ia untuk memberi inspirasi kepada individu terutamanya generasi muda agar mengamalkan gaya hidup lestari dan aktif terlibat dalam pemuliharaan alam sekitar. Acara ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kumpulan Kerja 4 Hijrah27, yang menekankan peranan industri Takaful dalam memajukan kesan positif terhadap alam sekitar dan masyarakat.”, kata Encik Marcel Omar Papp.
Acara ini mendapat sokongan penuh daripada pelbagai pengendali Takaful di dalam industri. Para penaja termasuklah AIA PUBLIC Takaful Bhd., Takaful IKHLAS dan Malaysian Reinsurance Berhad sebagai Penaja ‘Silver’, manakala Sun Life Malaysia Takaful Berhad dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad merupakan Penaja ‘Bronze’. Etiqa Takaful turut menyumbang sebagai rakan strategik dalam menjayakan program ini.
Takaful4All Sustainability Day 2024 telah membuktikan kejayaan industri dalam memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam, mempereratkan hubungan bersama rakyat, dan mengukuhkan visi industri Takaful untuk masa depan yang lebih mampan. MTA berharap agar usaha ini akan diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan generasi akan datang.




