Lundu, 16 November 2024 – Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) telah menyambung kesinambungan penganjuran program Shape Your Future #FitFinances yang bertempat di Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, Lundu, Sarawak, melibatkan 150 pelajar dari Kolej Vokasional di sekitar negeri Sarawak. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai pendidikan pengurusan kewangan dan kepentingan perlindungan Takaful.
Program ini merupakan penganjuran kali ke-3, yang telah bermula pada tahun 2022 dan telah menjelajah kesemua wilayah di seluruh negara. Bagi tahun ini, ia telah dijalankan di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Sarawak yang melibatkan keseluruhan 565 pelajar Kolej Vokasional. Negeri Sarawak telah dipilih menjadi lokasi bagi majlis penutupan program Shape Your Future #FitFinances 3.0 bagi tahun 2024.
Majlis penutupan program ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Anielia anak Siam, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat, Sarawak. Turut dihadiri, Encik Mohd Radzuan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, serta Encik Azaddin Tgah Tasir, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kaunseling dan Pengecualian Kredit (AKPK).
Sepanjang program ini dijalankan, para peserta berpeluang mengikuti aktiviti-aktiviti menarik seperti simulasi kewangan, slot-slot penceramah, treasure hunt, dan juga aktiviti kecergasan. Tambahan pula, para pelajar juga telah dipantau secara konsisten bagi tempoh tertentu bagi memastikan mereka menerima bimbingan yang berterusan.
Program Shape Your Future #FitFinances 3.0 ini juga dilihat mampu memberi impak berterusan kepada para peserta dan juga masyarakat sekitar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Encik Mohd Radzuan Mohamed, “Harapan kami adalah supaya para pelajar bukan sahaja akan menimba kemahiran pengurusan kewangan yang kukuh untuk diri sendiri, tetapi para pelajar juga dapat menjadi duta bagi berkongsi ilmu ini bersama rakan-rakan, ahli keluarga serta komuniti setempat pelajar”.
Program Shape Your Future #FitFinances 3.0 ini adalah inisiatif MTA dengan kerjasama AKPK, dimana ianya merupakan sebahagian daripada kempen Takaful4All yang bertujuan untuk memperluas pemahaman mengenai nilai dan kepentingan perlindungan Takaful. Penganjuran program ini juga adalah seiring dengan inisiatif Bulan Literasi Kewangan oleh Financial Education Network, Bank Negara Malaysia.
Sempena Bulan Literasi Kewangan ini juga, MTA telah menjalankan pelbagai program berkaitan literasi kewangan, terutamanya dalam menyantuni masyarakat sekitar negeri Sarawak. Ini termasuklah program Takaful Masuk Kampung yang telah dijalankan di Kampung Samariang Batu, Kuching pada 10 November 2024 yang telah dihadiri oleh Yang Amat Berhormat, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. MTA juga akan berada di Vivacity Megamall bagi Karnival Celik Kewangan bersama Bank Negara Malaysia dari 15 hingga 17 November, Dimana MTA akan menganjurkan Takaful4All Fun Run pada 17 November 2024. Terdapat pelbagai aktiviti menarik dilaksanakan bertujuan untuk memperkukuh celik kewangan dalam kalangan masyarakat setempat.

